fbpx
Kapten Selangor, Faisal Abdul Halim (kiri) bersaing dengan pertahanan TFC, Azam Azmi pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus malam ini.

TFC pastikan ‘bulan madu’ Kim Pan-gon berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) berjaya mengikat Selangor FC 1-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di sini, sebentar tadi.

Tuan rumah terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Careca sebelum Faisal Halim menyelamatkan maruah skuad The Red Giants membolehkan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.

Skuad Sang Penyu yang menurunkan penyerang baharu, Gervane Kastaneer bermula agresif apabila hampir membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi percubaan hasil hantaran Shervoni Mabatshoev, namun bola sekadar melewati gawang lawan.

Kastaneer sekali lagi hampir mengejutkan pelawat beberapa minit kemudian, namun tandukan pemain kelahiran Curacao itu pula sedikit tinggi melepasi palang gol.

Lima minit kemudian, jaringan Akhyar Rasid yang sepatutnya memberikan kelebihan awal kepada TFC dibatalkan selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati berlaku sentuhan keras ke atas pemain lawan, sekali gus memaksa pengadil Kamal Ikhwan Yaacob membatalkan gol berkenaan.

Sorakan hampir 5,000 penyokong di Gong Badak akhirnya bergema pada minit ke-42 apabila pemain import kelahiran Brazil, Careca, berjaya meledak gol selepas bijak menyempurnakan hantaran Ehson Panshanbe untuk meletakkan TFC di hadapan.

Bersambung babak kedua, anak buah Tengku Hazman Raja Hassan terus meningkatkan tempo serangan namun tandukan Safwan Mazlan hanya 10 saat selepas sepak mula sekadar singgah di palang gol.

Sewaktu TFC rancak memburu gol kedua, Selangor bangkit menyamakan kedudukan menerusi Faisal pada minit ke-57.

Skuad Sang Penyu gagal memanfaatkan kelebihan seorang pemain apabila Selangor terpaksa beraksi dengan 10 orang selepas Hugo Boumous dilayangkan kad merah pada minit ke-74 akibat menjatuhkan Kastaneer. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN