fbpx
GARCES yang masuk pada babak kedua berjaya menghalang Espanyol mendapatkan jaringan ketika Alaves meraih kemenangan. - FB DEPORTIVO ALAVES

Sentuhan Garces belum ‘berkarat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IMPAK pemain berdarah warisan skuad Harimau Malaya, Facundo Garces sangat luar biasa apabila langsung ‘tidak berkarat’ selepas tampil secara kompetitif buat kali pertama selepas membantu Alaves menang 2-1 ke atas Espanyol dalam aksi La Liga, awal pagi semalam.

Perkara itu diakui oleh pengendali Alaves, Eduardo Coudet yang menganggap pemain kelahiran Argentina berusia 27 tahun itu seperti ‘kamikaze’ yang sangat penting untuk mengukuhkan pasukan terutama di posisi pertahanan.

Kata Coudet, walaupun Garces hanya dimasukkan pada babak kedua, dia berjaya menghalang daripada pasukan lawan untuk melakukan sebarang ancaman bahaya sepanjang 45 minit beraksi.

“Garces seperti kamikaze yang memiliki mentaliti luar biasa. Kita sangat merindui kelibatnya kerana dia sangat penting khususnya di bahagian benteng pasukan,” katanya selepas tamat perlawanan.

Sebagai rekod, Garces sudah empat bulan tidak beraksi secara kompetitif selepas digantung Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sejak dihukum pada September lepas susulan isu pemalsuan dokumen untuk mewakili skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Situasi ini disebabkan Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) membenarkan permohonan Penangguhan Pelaksanaan (Stay of Execution) yang dikemukakan tujuh pemain warisan Malaysia termasuk Garces yang dikeluarkan pada awal minggu ini.

Selain Garces, enam lagi pemain yang telah dihukum penggantungan 12 bulan oleh FIFA adalah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

Figueiredo, Irazabal dan Hevel turut membuat penampilan pertama ketika membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menang 3-0 ke atas Shan United dalam aksi Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) di Stadium Sultan Ibrahim, Khamis lepas.

Sementara itu, Machuca pula sudah kembali melaporkan diri bersama kelab gergasi Argentina, Velez Sarsfield tetapi status Palmero dan Holgado masih lagi belum diketahui.

Nasib sebenar semua pemain ini hanya akan diketahui pada sidang rayuan CAS yang dijadualkan berlangsung pada 26 Februari depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN