PETALING JAYA – Pelakon Mawar Rashid menyangkal dakwaan kononnya bakal mendirikan rumah tangga bersama seorang jejaka berasal dari Brunei, sekali gus menyifatkan khabar angin tersebut sebagai tidak berasas dan mencetuskan kekeliruan.
Ujar Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid, 31, dia sendiri terkejut apabila dikaitkan dengan cerita perkahwinan sedangkan perkara itu tidak pernah wujud dalam perancangannya.
“Comelnya orang yang sebarkan cerita ini. Ya Allah, daripada mana dapat info ini? Saya pun tak pernah tahu.
“Kalau saya sendiri tak tahu, macam mana saya nak jawab? Saya pun terkejut dapat tahu khabar angin ini.
“Mungkin salah orang rasanya, mereka mungkin salah ibu tunggal ni” katanya.
Tambah pelakon drama Nikmat Hanya Sesaat itu, salah faham tersebut dipercayai tercetus susulan ibunya, Marineei Abdullah, mendirikan rumah tangga bersama lelaki berasal dari Brunei pada tahun 2024, sekali gus mencetuskan spekulasi liar dalam kalangan netizen.
“Mungkin orang salah faham sebab mama saya baru berkahwin dengan orang Brunei. Sebab itulah kot berita begini boleh keluar.
“Jadi ada yang ingat Mawar pula. Hakikatnya bukan saya,” jelasnya.
Paling penting kata ibu tunggal kepada tiga cahaya mata itu, fokus utamanya kini hanya tertumpu kepada anak-anak, tanpa memikirkan soal jodoh atau perkahwinan baharu.
“Sekarang saya memang fokus dekat anak-anak. Itu keutamaan saya buat masa ini
“Bangun awal pagi, hantar anak ke sekolah, kemudian sambung pula sekolah agama. Memang sibuk ulang-alik ambil anak.
“Awal-awal memang rasa gementar, tapi alhamdulillah sekarang dah hampir sebulan dan semuanya berjalan lancar,” kongsinya.
Sebelum ini, timbul gosip mengenai seorang selebriti berstatus ibu tunggal dikatakan bakal kembali bergelar isteri kepada jejaka dari Brunei, malah hubungan tersebut didakwa sudah mendapat restu keluarga serta sedang menghitung hari ke arah perkahwinan.
Untuk rekod, Mawar pernah mendirikan rumah tangga bersama usahawan Raden Muhammad Rafael pada November 2017.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Rafael Raden Ahmad, Raisa Raden Ahmad dan Rian Raden Ahmad.
Bagaimanapun, pasangan tersebut sah bercerai pada November 2023. – KOSMO! ONLINE.














