PETALING JAYA – Pembangunan negara tidak wajar diukur melalui bangunan tinggi dan kemodenan semata-mata, sebaliknya mesti menyentuh terus kehidupan rakyat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, kemajuan sebenar berpaksikan keadilan dan kebajikan masyarakat.
Menurut beliau, setiap agenda pembangunan perlu dirancang secara inklusif agar manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan rakyat.
“Segala usaha pembangunan mesti memastikan tiada kelompok yang tercicir daripada arus kemakmuran, agar hasil kemajuan dapat dinikmati secara saksama oleh seluruh rakyat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial sempena sambutan Ulang Tahun Wilayah Persekutuan hari ini.
Dalam hantaran itu, Anwar turut menekankan nilai ihsan, hormat-menghormati dan kebersamaan sebagai tunjang kepada Kerajaan Madani bagi menjamin keharmonian dan kestabilan negara.
Pada masa sama, beliau mengucapkan Selamat Menyambut Ulang Tahun Wilayah Persekutuan kepada warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan. – KOSMO! ONLINE














