PETALING JAYA – Kementerian Pertahanan (Mindef) menyokong penghasilan karya tempatan yang mengangkat sejarah, kepahlawanan dan pengorbanan perwira negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, filem seperti Takluk 2: Op Daulat bukan sekadar hiburan, malah medium penting dalam menyemai semangat patriotisme.
Menurut beliau, filem seperti itu juga menghargai peranan serta pengorbanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM)
“Tahniah kepada seluruh pasukan produksi atas usaha menjayakan filem berteraskan sejarah dan keselamatan ini.
“Karya seperti ini penting untuk membantu rakyat memahami peranan serta pengorbanan anggota keselamatan termasuk ATM,” katanya dalam hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled memaklumkan, beliau melakukan lawatan ke tapak penggambaran Takluk 2: Op Daulat di Ladang Alaf, YPJ Plantation, Kota Tinggi, Johor semalam.
Menurut beliau, lawatan itu mencerminkan sokongan berterusan terhadap industri kreatif tempatan serta usaha memberi kefahaman lebih mendalam tentang tema keselamatan negara. – KOSMO! ONLINE














