SEREMBAN – Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah mencemar duli melawat bayi ke-151 hasil rawatan persenyawaan tabung uji (IVF) tajaan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) di Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), di sini, hari ini.
Pada lawatan itu, Tunku Azizah turut berkongsikan beberapa tips penjagaan bayi baharu lahir termasuk menasihatkan si ibu untuk memandikan anak sendiri bagi mengeratkan lagi hubungan ibu dan anak.
“Kena belajar (mandikan bayi sendiri). Jangan bagi orang lain mandikan, mandi itu orang kata antara ibu dan anak. Saya beranak hari ini, esok pagi saya mandikan bayi saya sendiri. Senang sahaja, mula-mula lap mata bayi, lap muka bayi, lap lidah bayi, basuh rambut dia (bayi).
“(Kalau boleh) mandikan air zam-zam, mandian pertama saya bagi air zam-zam,” kongsi Tengku Ampuan Pahang sambil meriba bayi pasangan suami isteri, Zahidah Zainudin, 33, dan Salahuddin Alaayubi Nawawi, 41, di Wad 4A Kenanga, Bangunan Wanita dan Kanak-Kanak HTJS, di sini hari ini.














