SEBERANG PERAI – Penduduk sekitar Tasek Gelugor di sini, semakin tidak senang duduk apabila mereka terpaksa menghidu bau busuk setiap hari yang dipercayai berpunca daripada ladang penternakan babi di Kampung Selamat.
Hisham Md Jusoh, 48, wakil penduduk Taman Sepadu berkata, dia sekeluarga menetap di taman perumahan itu sejak 16 tahun lalu, namun kebelakangan ini bau tersebut semakin menyengat kerana kumbahan ladang babi memasuki parit dan mencemari Sungai Kereh.
“Penduduk terpaksa menutup pintu dan tingkap kerana tidak tertahan dengan bau yang memualkan. Dahulu, saya pernah menipu rakan-rakan yang datang dengan mengatakan ia bau dari ladang ayam berhampiran, namun lama-kelamaan memang tidak boleh disembunyikan, saya akui ia dari ladang babi.
“Sepanjang tinggal di sini, kami sekeluarga sering balik kampung kerana tidak sanggup menjemput saudara mara beraya di rumah kami.
“Kami benar-benar berharap pihak berwajib dapat membantu, kerana lebih lima taman berhampiran menghadapi masalah yang sama,” katanya ketika ditemui selepas menyertai program bantahan aman di Taman Sepadu Jaya di sini, lewat petang semalam.
Terdahulu, ratusan penduduk berkumpul bagi menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap pengoperasian kandang babi di Kampung Selamat, yang telah berlarutan lebih 40 tahun.
Difahamkan, terdapat 63 ladang babi di Kampung Selamat dengan anggaran jumlah 61,554 ekor babi.-KOSMO! ONLINE














