LONDON – Arsenal menamatkan kemarau tanpa kemenangan dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Leeds United 4-0 sekali gus melebarkan jurang di tangga teratas dengan mengutip 53 mata ketika ini.
Pada aksi di tempat lawan itu, skuad The Gunners kendalian Mikel Arteta terpaksa merombak kesebelasan utama selepas Bukayo Saka mengalami kecederaan ketika memanaskan badan sehingga terpaksa diganti dengan Noni Madueke.
Percaturan tersebut membuahkan hasil apabila Madueke cemerlang di posisi sayap kanan apabila mencipta peluang buat Martin Zubimendi menanduk gol pembukaan pada minit ke-27.
Jaringan tersebut menaikkan semangat pasukan pelawat selepas hanya memerlukan 10 minit untuk menggandakan jaringan apabila penjaga gol Leeds United, Karl Darlow tertampan gol ke gawang sendiri ketika situasi sepakan penjuru.
Bersambung pada babak kedua, Arsenal terus mengganas dan kini giliran Viktor Gyokeres mencetak nama selaku penjaring selepas menerima hantaran Gabriel Martinelli pada minit ke-69.
Pemain gantian, Gabriel Jesus melengkapkan kemenangan bergaya The Gunners apabila menjaringkan gol keempat sebelum wisel penamat ditiupkan sekali gus memberi keceriaan buat Arsenal yang gagal menang sejak tiga aksi EPL yang lepas.
Sementara itu, dua lagi perlawanan EPL sebentar tadi menyaksikan Bournemouth berjaya menewaskan Wolverhampton 2-0 manakala Brighton seri 1-1 bertemu Everton. – AGENSI














