fbpx
Ayu Damit mengakui pernah berdepan kemurungan disebabkan mulut netizen sehinggalah kini berjaya menemui ketenangan dengan bantuan Dr. Hisham Dzakiria.

‘Dikecam baju ketat bak balut nangka’ – Ayu Damit temui jalan healing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENYANYI popular Ayu Damit akhirnya membuka kisah perit yang lama terpendam — dia mendedahkan bagaimana anggapan negatif dan kecaman terhadap rupa paras pernah memberi kesan besar sehingga menjejaskan kesihatan mentalnya.

Pelantun lagu Hanya Di Mercu itu mengakui sepanjang 18 tahun berada dalam dunia hiburan, dia sering kali dilabel mempunyai imej kampung, tidak cantik dan tidak sesuai menjadi penyanyi kerana berwajah desa.

Lebih menyedihkan, ada juga yang secara terbuka mengatakan dirinya tidak mempunyai masa depan dalam industri hiburan hanya kerana tidak menepati piawaian kecantikan tertentu.

“Saya pernah sangat kecewa, terasa hati dan tersinggung. Bila orang kata wajah saya kampung, tak cantik, tak sesuai jadi penyanyi.

“Lama kelamaan ia masuk ke dalam kepala. Dari situ saya mula alami kemurungan,” luah Ayu dengan jujur.

Menurut Ayu, kritikan tersebut bukan sekadar komen biasa, sebaliknya datang bertalu-talu sehingga membuatkan dirinya mempersoalkan nilai diri sendiri.

Kecaman netizen

Namun, tekanan tidak terhenti di situ apabila Ayu cuba memperbaiki penampilan dengan mengenakan pakaian yang lebih kemas dan cantik setiap kali membuat persembahan, masih ada pihak yang mempertikaikan usahanya itu.

“Bila saya cuba tampil lebih cantik, orang kata saya berlebihan. Bila saya jaga penampilan, masih ada yang tak puas hati. Apa sahaja yang saya buat, tetap salah,” katanya.

Lebih menyakitkan hati, Ayu turut berdepan tuduhan melampau apabila ingin kelihatan menarik di atas pentas. Ada yang melabelnya seksi, malah turut mengaitkan penampilannya dengan didikan suami.

“Ada yang sampai sanggup cakap suami saya tak pandai didik isteri. Ada yang hina cara saya bertudung, kata ketat macam pakai pembalut nangka. Kata-kata macam tu bukan saja hina saya, tapi juga seolah-olah menghina keluarga saya. Saya agak sensitif apabila soal keluarga di sentuh.

“Saya manusia biasa. Saya ada perasaan. Saya boleh kuat di luar, tapi dalam hati hanya Allah yang tahu betapa peritnya saya simpan semua itu.

Ayu (kiri) dilantik sebagai duta Healing Centre Dr. Hisham Dzakiria yang kini berpusat di Shah Alam.

“Saya belajar untuk berdamai dengan diri sendiri. Saya sedar, nilai seorang wanita bukan terletak pada cantik di mata manusia, tapi pada kekuatan hati dan keikhlasan kita,” ujarnya.

Atasi dengan Dr. Healing

Selepas melalui fasa sukar dalam hidup sehingga berdepan kemurungan akibat tekanan dan kecaman, Ayu Damit mendapatkan khidmat nasihat daripada seorang figura yang kini dikenali sebagai Dr. Healing, iaitu Dr. Hisham Dzakiria.

Pertemuan itu menjadi titik mula buat Ayu untuk kembali menenangkan diri, menyusun emosi dan melihat semula perjalanan hidupnya dengan lebih jernih.

Dalam memberi panduan dan sokongan kepada individu yang berdepan tekanan emosi, Dr. Hisham menekankan bahawa ujian hidup tidak memilih status atau gelaran.

Menurutnya, cara seseorang mengawal reaksi dan emosi jauh lebih penting dalam menentukan kekuatan diri ketika berdepan fasa sukar.

“Dalam konteks situasi Ayu, kita harus tahu bahawa nama, status atau gelaran bukan sebab utama ujian datang. Setiap manusia akan melalui fasa jatuh dan bangkit dalam hidup.

“Saya selalu ingatkan kepada Ayu, apa yang penting, kita belajar untuk mengawal reaksi dan emosi.

“Jangan beri ruang kepada suara-suara negatif, kerana apabila kita terlalu melayan, kita akan hilang fokus, hilang arah, dan akhirnya hilang diri sendiri.

“Apa yang berlaku dalam hidup ini bukan kebetulan. Ini adalah takdir. Kita wajib terima, setiap takdir itu adalah ketentuan Allah yang terbaik, walaupun kita belum nampak hikmahnya sekarang,” katanya.

Ayu dan Dr. Hisham berkata demikian pada acara Grand Opening Healing Centre Dr. Hisham Dzakiria di Shah Alam, Selangor, semalam.

Kemurungan

Dalam dunia yang bergerak pantas hari ini, tekanan emosi bukan lagi isu terpencil malah telah menjadi realiti harian bagi kanak-kanak, remaja dan orang dewasa.

Peningkatan kes kemurungan, kebimbangan melampau, konflik hubungan, keletihan emosi serta masalah tingkah laku mencerminkan satu hakikat penting bahawa kesihatan emosi dan minda memerlukan perhatian yang sama serius seperti kesihatan fizikal.

Healing Centre Dr. Hisham Dzakiria merupakan ubsidiari di bawah syarikat Ecotwin Step Training & Consultancy Sdn. Bhd. yang mengendalikan seminar pengurusan kesihatan mental dan perkembangan diri.

Atas keperluan inilah, Healing Centre Dr. Hisham Dzakiria – Pusat Terapi Emosi ditubuhkan sebagai sebuah pusat intervensi yang praktikal, berstruktur dan  berorientasikan penyelesaian, khusus untuk membantu individu mencapai kestabilan emosi dan transformasi minda secara berkesan.

 “Kami membuka Healing Centre dengan misi untuk menjadikan khidmat kesihatan mental lebih mudah diakses oleh masyarakat. Ini kerana terlalu ramai yang bergelut dalam senyap dengan kemurungan, stres, fobia dan masalah hubungan,” katanya.

Healing Centre Dr. Hisham Dzakiria adalah subsidiari di bawah syarikat Ecotwin Step Training & Consultancy Sdn. Bhd. yang mengendalikan seminar pengurusan kesihatan mental dan perkembangan diri.

Pusat ini boleh dihubungi melalui 010-3243243 untuk janji temu atau datang ke No 12, Jalan Setia Dagang AL U13/AL, Seksyen U13, 40170 Shah Alam. Pusat Healing ini dibuka dari pukul 9 pagi hingga 5 petang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN