fbpx
Mohd. Khalid

Bertengkar dengan peniaga punca Inspektor Sheila ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GOMBAK – Menimbulkan kekecohan dan bertengkar dengan peniaga menjadi punca Inspektor Sheila ditahan di Batu Caves, semalam.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, tangkapan itu dibuat oleh anggota polis yang bertugas di sekitar Batu Caves sempena sambutan Thaipusam.

“Seorang wanita yang kita kenali sebagai Sheila telah kita tangkap semalam kerana berlaku sedikit perkara di luar jangka yang boleh
menimbulkan kekecohan.

“Antaranya berlaku pertengkaran dengan peniaga-peniaga di sini. Kita percaya ia boleh menimbulkan kekecohan, jadi kita ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Program Community Policing Thaneeri Panthal PDRM 2026 di Kuil Subramaniam Swamy, Batu Caves di sini hari ini.

Mohd. Khalid berkata, penahanan itu dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Menurutnya, Shiela telah direman selama sehari, namun telah dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Mengulas mengenai status Shiela, beliau berkata, wanita tersebut sebelum ini bertugas dengan pasukan polis, namun mempunyai beberapa isu melibatkan kesihatan.

“Perkara ini masih lagi dalam siasatan dan kita menunggu arahan daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya bagi mengambil tindakan undang-undang dan seterusnya,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Khalid berkata, seramai kira-kira 1,400 petugas telah ditugaskan bagi mengawal keselamatan sepanjang 24 jam sepanjang sambutan Thaipusam di sini.

Menurut beliau, operasi keselamatan turut dibantu oleh pelbagai agensi berkaitan termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Bulan Sabit Merah Malaysia dan Jabatan Kerja Raya.

“Alhamdulillah, sehingga kini tiada kejadian serius dilaporkan. Tindakan sewajarnya telah diambil bagi mengelakkan berlakunya insiden tidak diingini seperti pergaduhan kecil sebagaimana yang pernah berlaku sebelum ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, katanya, seramai 1.4 hingga 1.5 juta pengunjung direkodkan sempena sambutan Thaipusam tahun ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN