BAKERSFIELD, CALIFORNIA – Pengguna jalan raya di negeri California berdepan kesesakan lalu lintas berjam-jam akibat kemalangan yang melibatkan 150 buah kenderaan ketika kabus tebal berlaku, lapor akhbar Daily Star.
Kemalangan itu berlaku sekitar pukul 8.15 pagi (waktu tempatan) di Lebuh Raya 99, utara Bakersfield semalam.
Sekurang-kurangnya 59 kenderaan disahkan terlibat dalam rempuhan itu.
Imej yang dikongsi di media sosial memaparkan beberapa kenderaan yang remuk dan terhimpit di antara beberapa trak dengan serpihan bertaburan di atas jalan.
Pelanggaran yang melibatkan lorong utara dan selatan dari Avenue 24 hingga ke Kern County itu memaksa Lebuhraya Golden State ditutup sepenuhnya, demikian menurut media tempatan.
Sekurang-kurangnya 10 orang cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut, lapor portal berita ABC 30.
Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pihak berkuasa menggesa orang ramai untuk menggunakan laluan alternatif sementara anggota penyelamat membersihkan kenderaan dan serpihan. – AGENSI














