PETALING JAYA – Warga Pulau Pinang disaran supaya duduk diam-diam di rumah dan mengelakkan diri daripada memasuki kawasan town (Georgetown) susulan keadaan trafik yang sesak teruk di beberapa laluan utama.
Perkara itu tular selepas satu perkongsian dimuat naik di Kumpulan Facebook, Penang Kini yang menasihatkan orang ramai supaya tidak merancang untuk keluar bersiar-siar di kawasan pusat bandar buat sementara waktu.
“Warga Penang dinasihatkan duduk diam-diam dalam rumah. Kawasan town, jangan gatai-gatai teringin nak pi (pergi),” tulis pengendali akaun di ruangan kapsyen.
Menurut perkongsian sama, orang ramai yang masih ingin keluar bersantai disarankan memilih kawasan lain yang lebih lengang seperti Bayan Baru, Pantai Jerejak, Bayan Lepas atau menuju ke Balik Pulau termasuk Teluk Kumbar dan Barat Daya.
Perkongsian itu turut disertakan dengan sekeping gambar keadaan trafik sesak di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, dipercayai dirakam pada waktu puncak, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan netizen.
“Kawasan town sesak teruk,” lapor Alan Ho.
“Memang sesak sangat. Semalam pulul 12 tengah malam pun ‘melekat’ dekat Little India, Tanjung Tokong,” kongsi Pendekar Mustar. – KOSMO! ONLINE














