PETALING JAYA – Keberanian seorang lelaki berdepan seekor ular tedung selar (king cobra) yang menceroboh pekarangan rumahnya mencetuskan pelbagai reaksi orang ramai selepas rakaman kejadian itu tular di media sosial.
Dalam insiden tersebut, lelaki berkenaan dilihat bertindak nekad cuba membunuh haiwan berbisa itu menggunakan sebilah parang, meskipun ular berkenaan terkenal sebagai antara spesies paling berbahaya di dunia.
Suasana menjadi cemas apabila individu lain yang berada di dalam rumah kedengaran menjerit ketakutan ketika cubaan itu dilakukan.
“Heri…Heri…dia (ular) bangun. Allahuakhbar, Heri…,” ulang seorang wanita ketika berada di tempat kejadian.
Rakaman berdurasi 47 saat yang dimuat naik di Facebook, Persatuan Haiwan Malaysia memaparkan lelaki terbabit berhadapan jarak dekat dengan ular tedung berkenaan, sekali gus mengundang risiko besar terhadap keselamatan dirinya dan penghuni rumah lain.
Dalam rakaman terbabit, turut kelihatan haiwan berbisa itu dalam keadaan ingin menyerang mangsanya.
“Berani sangat tu bang, ingat itu tedung selar….bukan ular mainan,” pesan Mustakim.
“Yang belasah ular tu terlebih berani. Yang menjerit tu sayangkan dia, tapi dia pula tak dengar cakap. Aku yang tengok yang risau. Kalau kena patuk tu, ke batu dua kau bang,” komen Cik Puan Mast.
Sementara itu, Persatuan Haiwan Malaysia mengingatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri sekiranya berdepan dengan situasi melibatkan ular berbisa.
Menurut persatuan itu, orang ramai yang tiada kemahiran menangkap dan mengurus ular berbisa adalah dinasihatkan mendapatkan bantuan pasukan penyelamat seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia atau Angkatan Pertahanan Awam bagi mengelakkan salah langkah sehingga boleh meragut nyawa.
“Berani itu bagus, namun bijak lebih baik. Kejadian di Kedah,” pesan persatuan tersebut. – KOSMO! ONLINE














