PETALING JAYA – Kerajaan bersetuju dengan cadangan dasar mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri selama 10 tahun dalam usaha memperkukuh prinsip akauntabiliti, semak dan imbang serta tadbir urus berteraskan Perlembagaan Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan itu dibuat pada mesyuarat mingguan Jemaah Menteri semalam.
Jelasnya, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri meneliti secara menyeluruh input dasar, pandangan awam serta syor yang dikemukakan melalui sesi libat urus holistik dengan penglibatan pelbagai pihak berkepentingan.
“Cadangan pengehadan tempoh jawatan ini bertujuan untuk mengelakkan penumpuan kuasa berlebihan, memperkukuh sistem demokrasi serta meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kepimpinan negara.
“Ia juga selaras dengan amalan demokrasi matang di peringkat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Azalina berkata, kerajaan juga akan melaksanakan beberapa pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan dan akan dibentangkan di Parlimen pada sidang kali ini. – KOSMO! ONLINE














