KULIM – Cadangan Datuk Seri Rafizi Ramli supaya polis mengklasifikasikan siasatan kes serangan melibatkan anaknya sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) merupakan pendirian peribadi Ahli Parlimen Pandan itu, bukannya keputusan rasmi pihak berkuasa.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak mahu membuat sebarang arahan bersifat konklusif berhubung kes tersebut kerana ia di bawah bidang kuasa profesional Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, sebarang tindakan atau saranan dikhuatiri akan mengganggu siasatan PDRM dalam kes tersebut.
“Itu cadangan beliau (Rafizi). Yang paling penting apabila ada insiden laporan polis dibuat, tugas hakiki polis adalah siasat. Penyiasatan ini akan dilakukan sepanjang masa dengan perkembangannya bergantung kepada petunjuk baharu.
“Jadi sama ada pengkelasan itu hendak dimasukkan sebagai ‘No Further Action’, saya serahkan kepada profesional polis. Jadi kita biarkan dulu,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Fasa 2 Daerah Kulim, di sini hari ini.
Bekas Menteri Ekonomi itu semalam bersedia mengusulkan kepada kerajaan dan pihak berkuasa supaya siasatan kes serangan terhadap anaknya yang memasuki bulan keenam dihentikan.
Beliau memaklumkan akan menulis surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Saifuddin dan PDRM supaya siasatan dihentikan sekiranya tiada perkembangan dalam masa terdekat.
Saifuddin melahirkan rasa simpati terhadap insiden tersebut dan memaklumkan beliau sendiri menghubungi Rafizi bagi bertanyakan khabar bukan sahaja ketika kejadian, malah selepas kejadian tersebut berlaku.
Pada 13 Ogos 2025, Rafizi mendedahkan isterinya menerima mesej berbaur ugutan iaitu ‘diam, jika teruskan, AIDS,’ selepas anak lelaki mereka yang berusia 12 tahun diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Pada hari sama, polis mengesahkan kejadian serangan tersebut yang berlaku pada pukul 2 petang, namun kanak-kanak itu tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal. – KOSMO! ONLINE














