GOMBAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai yang menghadiri sambutan Thaipusam supaya menjaga tingkah laku, menghormati adat dan mematuhi kehendak keagamaan sepanjang perayaan itu berlangsung, di sini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, Thaipusam merupakan upacara keagamaan yang suci dan bukan majlis untuk bersuka ria atau melakukan perbuatan yang tidak bersesuaian.
Menurut beliau, pengunjung perlu memahami batas yang wajar dipatuhi sepanjang sambutan tersebut.
“Ada perkara yang patut dibuat dan ada perkara yang dilarang. Nasihat saya kepada pengunjung, ikutlah adat dan kehendak keagamaan itu. Thaipusam bukan majlis untuk bersuka ria,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Program Kepolisan Komuniti ‘Thaneer Panthal’ Tahun 2026 sempena Sambutan Hari Thaipusam di Kuil Sri Subramaniam Swamy, Batu Caves, hari ini.
Dalam pada itu, katanya, kira-kira 1,000 beg cenderahati turut diedarkan kepada pengunjung, mengandungi maklumat penting termasuk berkaitan Pusat Respons Penipuan Kebangsaan serta panduan tindakan sekiranya berdepan atau mengesan kes penipuan.
Beliau turut memaklumkan seramai 88 pegawai dan anggota PDRM ditugaskan bermula hari ini sehingga malam esok bagi memastikan kelancaran, keselamatan serta pengagihan barangan sepanjang sambutan Thaipusam.
Terdahulu media melaporkan, lebih 2.5 juta orang dijangka mengunjungi Batu Caves sempena sambutan Thaipusam tahun ini, meningkat berbanding tahun lepas berikutan hujung minggu dan cuti umum yang panjang. – KOSMO! ONLINE














