MOSCOW – Sebuah pesawat rasmi milik kerajaan Iran mendarat di sebuah lapangan terbang di Russia sekali gus menimbulkan spekulasi berhubung perkembangan keselamatan serantau, lapor portal berita Azernews.
Pesawat itu mendarat di Lapangan Terbang Vnukovo, Moscow lewat kelmarin di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak antara Tehran, Washington danTel Aviv, lapor beberapa saluran pemantauan Russia dan antarabangsa.
Laporan yang tidak disahkan mendedahkan bahawa pesawat itu membawa Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Namun, tiada pengesahan rasmi dikeluarkan oleh pihak berkuasa AS atau Iran.
Ketibaan pesawat itu berlaku di tengah-tengah khabar angin dan laporan meluas tentang potensi serangan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran atau sasaran ketenteraan.
Ia juga berlaku ketika kehadiran tentera AS yang semakin meningkat di Teluk dan rantau Asia Barat, dengan kapal induk USS Abraham Lincoln dan kapal pemusnah dikerahkan ke rantau tersebut.
Beberapa pegawai AS berkata, aset itu meningkatkan kapasiti Washington untuk mempertahankan tenteranya dan berpotensi melancarkan tindakan ketenteraan. – AGENSI














