JAKARTA – Sebuah keluarga pelancong asing menerima kecaman orang ramai selepas dirakam membuat unggun api ketika melawat gunung berapi di Indonesia, lapor portal berita Tribunnews.
Kejadian berlaku di Taman Pelancongan Semula Jadi (TWA) Kawah Ijen, wilayah Jawa Timur baru-baru ini.
Rakaman video dimuat naik di media sosial menunjukkan pasangan suami isteri bersama tiga anak mereka sedang duduk mengelilingi unggun api sambil menikmati pemandangan kawah berwarna biru.
Api itu terus menyala selepas ditambah beberapa ranting kayu yang diambil di sekitar mereka.
Jurucakap TWA Kawah Ijen, Rusdi Santoso berkata, klip video itu dirakam oleh seorang pemandu pelancong.
“Meskipun pemandu pelancong itu tidak mengenali pengunjung tersebut, dia tetap diberi amaran. Menyalakan unggun api di kawasan Kawah Ijen adalah dilarang.
“Ia diharamkan kerana boleh mengganggu ekosistem dan berpotensi mencetuskan kebakaran,” kata Rusdi. – AGENSI














