BANGKOK – Lebih 70 tiang elektrik tumbang selepas sebuah lori kontena melanggar lalu tersangkut pada kabel telekomunikasi ketika melintasi sebuah jambatan di Thailand, lapor portal berita Thaiger.
Kejadian berlaku di pintu masuk ke Kawasan Perindustrian Bang Pu, wilayah Samut Prakan semalam.
Polis dan pegawai Pihak Berkuasa Elektrik Metropolitan (MEA) bergegas ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kemalangan itu sekitar pukul 1 tengah hari (waktu tempatan).
Siasatan awal mendedahkan bahawa lori tersebut melanggar dan mengheret kabel elektrik semasa melintasi jambatan, menyebabkan lebih 70 tiang tumbang dalam jarak kira-kira dua kilometer.
Tiang setinggi 12 meter itu tumbang dalam tindak balas berantai. Peralatan elektrik yang dipasang pada tiang termasuk transformer dan komponen pengagihan kuasa lain turut rosak.
Tiada pejalan kaki atau pengguna jalan raya dilaporkan cedera.
Beberapa pegawai MEA berkata, jumlah kerosakan masih belum dimuktamadkan, namun ia dijangka mencecah berjuta-juta baht.
Kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas dan gangguan bekalan elektrik secara besar-besaran.
Demi mengelakkan kesesakan semasa waktu puncak, lebih 200 pegawai dikerahkan untuk membersihkan tiang yang tumbang dan serpihan dari jalan raya. – AGENSI














