fbpx
Zambry ketika ditemui media selepas merasmikan Karnival Jom Masuk Universiti (JMU) 2026 di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya hari ini. Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

Langkah wajibkan pembelajaran BM, Sejarah tidak boleh dianggap sebagai paksaan – Zambry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Langkah kerajaan mewajibkan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah mengikut Kurikulum Kebangsaan di sekolah agama rakyat, sekolah antarabangsa dan sekolah persendirian tidak boleh dianggap sebagai paksaan.

Sebaliknya, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, dasar baharu pendidikan yang diperkenalkan kerajaan itu bertujuan memberi ruang kepada setiap rakyat mendapatkan pendidikan masing-masing.

“Ini bukan soal paksaan. Saya harap kita kena perbetulkan dari segi tanggapan yang menganggap bahawa ini merupakan satu desakan dan sebagainya.
“Bagi saya apa yang kita lihat, ruang dan peluang untuk setiap rakyat Malaysia mendapatkan pendidikan mereka,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Karnival Jom Masuk Universiti 2026 (JMU 2026) bagi Zon Wilayah (Premier) di sini hari ini.

Katanya, Dasar Pendidikan Negara (DPN) 2026-2035 yang dilancarkan baru-baru ini adalah pendekatan terbaik bagi menyelaraskan kepelbagaian sistem pendidikan yang ada dalam negara ketika ini.

Zambry berkata, menerusi dasar itu, kerajaan tidak boleh hanya melihat dari satu kes semata-mata yang melibatkan satu aliran sahaja sebaliknya akan melihat secara lebih saksama.

“Sebab yang disebutkan berkali-kali oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa ia juga melibatkan sekolah antarabangsa dan sekolah-sekolah agama yang ada yang tidak mengikut silibus dari segi pengajarannya serta dari segi mata pelajaran Sejarah dan juga yang lain-lain yang berkaitan dengan itu,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Zambry menjelaskan, proses perbincangan terperinci berhubung pelaksanaan pembelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di sekolah aliran bukan kebangsaan itu telah pun dimulakan.

Beliau berkata, perbincangan lanjut akan diadakan melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi dan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bagi memperincikan aspek teknikal dan kualiti pengiktirafan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI