WASHINGTON – Kerajaan Amerika Syarikat (AS) memasuki penutupan separa pada tengah malam tadi (waktu tempatan) apabila tarikh akhir resolusi pembiayaan tengah malam berlalu tanpa Kongres meluluskan belanjawan 2026.
Penutupan bagaimanapun diramalkan terhad, dengan Dewan Perwakilan dijangka meluluskan resolusi yang disokong Senat itu awal minggu depan.
Kegagalan tersebut berlaku ekoran pertikaian rundingan yang didorong oleh kemarahan wakil-wakil Parti Demokrat atas pembunuhan dua penunjuk perasaan di Minneapolis oleh ejen Penguatkuasaan Imigresen dan Kastam (ICE). Ia sekali gus menggagalkan rundingan mengenai belanjawan baharu untuk Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS).
“Daripada mengejar penyeludup dadah, pemangsa kanak-kanak dan penyeludup manusia, Pentadbiran (Presiden Donald Trump) Trump membazirkan sumber berharga yang menyasarkan penunjuk perasaan yang aman di Chicago dan Minneapolis,” kata Dick Durbin daripada Parti Demokrat di media sosial.
“Pentadbiran ini terus menjadikan rakyat Amerika kurang selamat,” tambahnya.
Kira-kira tiga perempat daripada operasi persekutuan terjejas, yang berpotensi mencetuskan prosedur penutupan merentasi pelbagai agensi dan operasi, daripada pendidikan dan kesihatan kepada perumahan dan pertahanan.
Jabatan persekutuan dijangka mula melaksanakan rancangan penutupan semalaman, tetapi pemimpin Kongres dalam kedua-dua parti berkata, tindakan Dewan Senat menjadikan gangguan mungkin jauh lebih singkat daripada kebuntuan berpanjangan.
Jika Dewan Perwakilan meluluskan pakej tersebut seperti yang dijangkakan awal minggu depan, pembiayaan akan dipulihkan dalam beberapa hari. Ia sekali gus mengehadkan impak praktikal penutupan tersebut terhadap perkhidmatan kerajaan, kontraktor dan pekerja persekutuan.
Namun, jika penutupan itu berlanjutan lebih beberapa hari, puluhan ribu pekerja persekutuan akan berisiko dikenakan cuti tanpa gaji atau bekerja tanpa dana sehingga pembiayaan dipulihkan.
Sebelum ini, kerajaan AS ditutup 43 hari bermula 1 Oktober 2025 hingga 12 November tahun lepas, rekod paling lama dalam sejarah negara itu. – AFP














