PETALING JAYA – Penyanyi dan cef selebriti Datuk Fazley Yaakob menyarankan kaum lelaki agar tidak ‘terperangkap’ dengan cinta mana-mana wanita bermekap tebal termasuk yang gemar melukis kening.
Fazley atau nama sebenarnya, Ahmad Fadzli Yaakob, 48, berkata, adalah lebih afdal seseorang wanita itu dijadikan calon isteri seandainya hidup dalam realiti yang tidak bersandarkan fizikal luaran semata-mata.
“Maaf lah, jangan biasakan jatuh cinta dengan perempuan-perempuan yang mekap berlapis, berkening dilukis (sedangkan tiada kening sebenarnya)
“Berlipstik tebal berbanding bibir sebenar, berbulu mata palsu bak langsir raya dan bermandikan parfum macam pewangi pelembut baju,” katanya menerusi Threads.
Saranan tersebut diutarakan pelantun lagu Asmara Ini itu bagi mengelakkan mana-mana lelaki yang berhajat bergelar suami tidak kecewa pada kemudian hari.
“Kecuali kalin dah pernah tengok dia tanpa secalit mekap (solekan). Risau nanti kecewa bila satu hari nanti melihat wajah sebenar tanpa di rancang.
“Cinta berdasarkan mekap sama macam kena scam bila tengok wajah dari media sosial yang berfilter penuh,” katanya lagi.
Pandangan juara MasterChef Selebriti Malaysia 2012 menjemput banyak kritikan daripada netizen terutama kaum wanita yang bertindak menyuarakan pendapat masing-masing.
“Saya tak suka dengar pendapat lelaki bermisai.
“Terima kasih sebab jujur. Percayalah, ramai wanita yang tersakiti dengan hakikat ini,” demikian antara komen peminat. – KOSMO! ONLINE














