JOHOR BAHRU – Ajaran Ahmadi Religion yang difatwakan sesat di negeri ini baru-baru ini dihidupkan semula dipercayai didalangi individu dari luar Johor.
Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Yusree Ikhsan berkata, siasatan pihaknya mendapati usaha membawa masuk ajaran itu dilakukan oleh pihak luar dan tidak membabitkan penduduk tempatan.
Katanya, meskipun kegiatan tersebut masih terkawal, namun pihaknya mengingatkan umat Islam agar tidak terpengaruh dengan dengan mana-mana ajaran yang menyimpang daripada pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang diamalkan di negeri ini.
“Penyebaran poster berkaitan ajaran sesat itu mula dikesan oleh Majlis Perbandaran Muar (MPM) apabila digantung di beberapa lokasi tumpuan di bandar Muar baru-baru ini.
“MPM mengambil tindakan menurunkan poster tersebut pada Jumaat lalu atas kesalahan menggantung bahan tanpa kebenaran sebelum dirujuk kepada JAINJ,” katanya ketika dihubungi di sini.
Beliau berkata, hasil semakan pihak berkuasa mendapati bahan-bahan tersebut mempromosikan ajaran Ahmadi Religion yang difatwakan sesat sebelum ini. Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan, namun pemantauan akan diteruskan bagi memastikan ia tidak berulang.
Pada tahun lalu, seorang pengikut ajaran itu di Pontian didakwa di mahkamah dan didenda RM6,000 serta penjara tiga bulan atas tiga pertuduhan menyimpan bahan berkaitan ajaran sesat berkenaan.
Pada Jumaat lalu, tular gambar poster dan kain rentang mempromosikan semula ajaran Ahmadi Religion yang dikesan dipasang di beberapa lokasi tumpuan di Muar sebelum diturunkan pihak berkuasa.
Antara kepercayaan dan ajaran Ahmadi Religion yang bercanggah dengan Islam adalah pengikutnya mempercayai Muhammad bin al-Hassan al-Askari (Imam syiah ke-12) sebagai Imam al-Mahdi. Beliau kini dikatakan sedang bersembunyi dan akan muncul pada akhir zaman.
Selain itu, pengikut ajaran itu juga percaya Ahmad al-Hasan yang digelar al-Yamani berperanan sebagai utusan kepada Imam al-Mahdi yang akan membawa syariat baharu dan terakhir yang menyempurnakan ajaran serta syariat para Nabi terdahulu. – KOSMO! ONLINE














