KUALA LUMPUR – Kali terakhir seorang ibu berjumpa anak lelaki kesayangannya adalah pada sambutan Tahun Baharu Cina 2022.
Sejak itu, bayangan wajah anak berusia 21 tahun itu hanya tinggal dalam ingatan, tanpa khabar berita yang jelas.
Kini, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi, ibu dari Semenyih Selangor itu hanya menaruh satu harapan iaitu dapat bertemu semula anaknya walaupun seketika.
Anak lelakinya yang digelar WY dilaporkan keluar bekerja ke Kuala Lumpur pada 2022 sebagai tukang masak sebelum gagal dihubungi dan dipercayai kini berada di Myanmar.
“Saya dihubungi pada 23 Januari lalu, ketika itu dia minta RM45,000 untuk selamatkan dia. Saya terkejut apabila diberitahu sekarang dia ada di Myanmar.
“Setiap kali Tahun Baharu Cina, saya tunggu dia balik. Tahun ini saya cuma doa satu perkara saja, biarlah saya dapat jumpa dia,” katanya dengan linangan air mata.
Menurut ibu mangsa, dia tidak membuat laporan polis pada peringkat awal kerana masih dapat berhubung dengan rakan-rakan anaknya.
“Rakan dia kata anak saya sibuk bekerja dan melakukan dua kerja dalam satu masa. Sebab itu saya tidak berasa curiga,” katanya sebak.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishammuddin Hashim berkata, kes berkenaan dipercayai mempunyai unsur pemerdagangan manusia dan penipuan pekerjaan di luar negara.
Menurut beliau, MHO telah menerima aduan keluarga mangsa dan sedang membantu mengumpul maklumat bagi tujuan tindakan lanjut.
“Mangsa masih sangat muda dan ini antara kes yang sering kami terima melibatkan tawaran kerja palsu sebelum dibawa ke negara berisiko seperti Myanmar,” katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pekerjaan, khususnya yang menjanjikan gaji tinggi dan proses mudah tanpa dokumentasi lengkap. – KOSMO! ONLINE














