LONDON – Chelsea berharap dapat meneruskan rentak konsisten menjelang aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang West Ham United yang akan berlangsung di Stamford Bridge awal pagi esok.
Tahap keyakinan The Blues berada di kemuncak pada ketika ini, terutamanya selepas mereka menewaskan Napoli 3-2 kelmarin bagi mengesahkan kelayakan ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara (UCL).
Penyerang Chelsea, Joao Pedro menggesa rakan sepasukan supaya tidak menurunkan tempo permainan ketika bertemu The Hammers kerana mereka masih berpeluang untuk masuk ke dalam kelompok empat teratas.
“Apabila menang mana-mana perlawanan, sudah tentu ia memberi lebih keyakinan kepada pasukan. Sekarang kami hanya perlu berehat dan kekal positif untuk perlawanan menentang West Ham.
“Saya tahu kami sebagai satu pasukan sentiasa membantu antara satu sama lain dan ia membuatkan saya lebih yakin untuk memburu jaringan. Kami perlu bekerja lebih keras untuk terus maju,” katanya.
Tambah pemain Brazil itu, aksi ketika berdepan Napoli merupakan antara persembahan terbaik dipamerkan Chelsea sepanjang saingan musim ini, ditambah pula dengan kehadiran pengurus baharu, Liam Rosenior.
“Saya menganggap perlawanan menentang Napoli sebagai aksi impian untuk saingan musim ini kerana kami bermain cukup baik walaupun masih sedang menyesuaikan diri dengan corak permainan jurulatih baharu,” ujar Pedro. – AGENSI














