fbpx
Gambar yang dikongsi di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Agong berkenan menyempurnakan Kompleks BSAS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyempurnaan Kompleks Bangunan Sultan Abdul Samad (BSAS), pagi tadi.

Menerusi kenyataan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, majlis penuh bersejarah itu turut disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jelas kenyataan itu, BSAS yang ikonik itu dibuka kepada orang ramai selepas menjalani kerja konservasi dan pemuliharaan selama 11 bulan.

“Projek pemuliharaan berkenaan dilaksanakan di bawah program Dana Warisan Khazanah yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Warisan Kuala Lumpur (Warisan KL).

“Inisiatif nasional yang dilancarkan pada April 2025 itu bertujuan menafsir semula dan menghidupkan aset warisan ikonik serta identiti sejarah ibu negara,”kata kenyataan itu.

Projek berkenaan mencerminkan kerjasama erat antara sektor awam dan swasta di bawah payung Warisan KL, selain bertujuan menghidupkan BSAS sebagai ruang awam yang inklusif dan mudah diakses oleh semua lapisan masyarakat.

Pembukaan semula BSAS itu juga sejajar dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan dijangka memberikan limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, peruncitan dan logistik, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

Dahulu bangunan itu dikenali sebagai Bangunan Sekretariat yang menjadi teras pusatpentadbiran negara, sebelum dinamakan semula sebagai Bangunan Sultan Abdul Samad.

Ia bagi memperingati Almarhum Sultan Abdul Samad ibni Almarhum Raja Abdullah, Sultan Selangor yang memerintah pada ketika pembinaannya sekali gus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap bandar raya dan sejarah negara.

Bangunan itu juga menjadi saksi kepada pelbagai detik penting dalam sejarah negara dan Kuala Lumpur, termasuk penurunan bendera Union Jack dan pengibaran bendera Persekutuan Tanah Melayu buat pertama kalinya pada tahun 1957, di kawasan yang kini dikenali sebagai Dataran Merdeka.

Ia turut menyaksikan satu lagi fasa bersejarah susulan pengurniaan taraf bandar raya kepada Kuala Lumpur pada tahun 1972 dan pengisytiharannya sebagai Wilayah Persekutuan pada tahun 1974.

Pengisytiharaan itu juga selepas mendapat perkenan Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj yang menyerahkan Kuala Lumpur daripada kedaulatan Negeri Selangor kepada Kerajaan Persekutuan demi semangat kenegaraan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN