fbpx
Anggota Maritim Malaysia ketika menjalankan operasi penahanan dua kapal tangki di barat Muka Head, Teluk Bahang, Khamis lalu.

53 kru kapal ditahan pindah minyak mentah RM512 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Maritim Malaysia Pulau Pinang menahan dua kapal tangki disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran bernilai lebih RM512 juta di kedudukan kira-kira 24 batu nautika barat Muka Head di sini, Khamis lalu.

Dalam operasi tersebut, seramai 53 kru warga asing turut ditahan di atas kapal minyak berkenaan.

Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, penahanan dilakukan kira-kira pukul 1 pagi selepas pihaknya menerima aduan awam berhubung kehadiran dua kapal tangki yang berada dalam keadaan bersauh mencurigakan di kawasan perairan berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua kapal tersebut berada dalam keadaan bergandingan dan disyaki sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak mentah secara haram.

“Pemeriksaan turut mendapati aktiviti pemindahan minyak mentah itu melibatkan seramai 53 kru terdiri daripada warga China, Myanmar, Iran, Pakistan dan India,” katanya di sini hari ini.

Muhammad Suffi berkata, nilai rampasan minyak mentah yang dianggarkan adalah melebihi RM512 juta, manakala nilai keseluruhan kedua-dua kapal tangki terbabit dianggarkan berjumlah RM718 juta.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Laut, Jabatan Laut Malaysia yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000.

”Selain itu, siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 491B(1)(k) ordinan sama kerana menjalankan aktiviti pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia (JLM) yang memperuntukkan denda sehingga RM200,000 terhadap vesel terlibat.

“Dua kapten kapal bersama kedua-dua vesel telah ditahan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN