KLANG- Ujian Larian Tanpa Gagal (FFR) terhadap 22 tren bagi Transit Aliran Ringan Laluan Shah Alam (LRT3) dijangka diselesaikan pada 28 Februari ini.
Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Prasarana (Strategi & Pembangunan), Dr. Prodyut Dutt berkata, bagaimanapun tiada tarikh khusus diberikan Prasana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk pembukaan laluan ini susulan terdapat beberapa ujian yang perlu dijalankan pihaknya.
Katanya, kesemua set akan melalui Pemeriksaan Cermat Akhir (PCA) untuk memeriksa dan menguji kesiapan kereta api yang dibina supaya mematuhi Skim Kereta Api dan dokumen Cadangan Teknikal untuk tujuan pengoperasian selamat.
“Ini merupakan prasyarat utama sebelum permohonan Lesen Pengendali Rel dikemukakan kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
“Jadi beri kami masa untuk jalankan semua ujian ini. Sebaik sahaja semua ujian dan masalah dapat diselesaikan, kami akan maklumkan bila laluan ini dibuka,” katanya pada taklimat kemajuan projek LRT3 Laluan Shah Alam di Pusat Kawalan Operasi (OCC) Depoh Johan Setia, di sini, hari ini.
Menurut beliau, lima set tren daripada Kumpulan 1 telah berjaya melepasi ujian FFR dengan prestasi operasi yang stabil dan konsisten, setakat ini.
Tambah Prodyut, satu lagi set tren dalam kumpulan sama kini berada pada fasa akhir pengujian dan dijangka melengkapkan ujian FFR lewat hari.
“Lapan set dalam kumpulan kedua dijangka dapat diselesaikan secara berperingkat menjelang 2 Februari ini dan selebihnya pengujian FFR bagi Kumpulan 3 untuk baki lapan lagi set dapat diselesaikan 28 Februari ini,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sebanyak 33 isu teknikal dan perisian berjaya diselesaikan dengan penglibatan kira-kira 800 kakitangan Prasarana bagi menangani segala permasalahan pada tren. – KOSMO! ONLINE














