fbpx
Azmi (kiri) mengadakan kunjungan hormat bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur sempena sesi pembentangan laporan tatakelola di, Menara DBKL, semalam.

SPRM syor 5 cadangan tambah baik kelemahan sistem DBKL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan cadangan penambahbaikan tatakelola membabitkan lima isu utama kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Isu berkenaan melibatkan pengurusan bahan kreatif, pengurusan tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri, pemantauan kontrak perkhidmatan lesen perniagaan, tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun serta pengurusan kutipan sewa projek perumahan rakyat (PPR) dan awam.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Azmi Kamaruzaman berkata, sebanyak 20 cadangan penambahbaikan telah dikemukakan berhubung kelemahan atau kekurangan dalam amalan, sistem dan tatacara DBKL.

Menurutnya, perkara itu dikenal pasti melalui proses penyiasatan tatakelola selaras dengan peruntukan Seksyen 7(c), (d) dan (e) Akta SPRM 2009.

“Isu pertama menyentuh mengenai pengurusan pelaksanaan projek penerbitan kandungan siaran studio radio DBKL, yang dikenal pasti mempunyai kelemahan daripada segi ketiadaan had kelulusan sumbangan ditetapkan.

“Sehubungan itu, BPT mencadangkan penetapan Limits of Authority (LOA) khusus kepada Datuk Bandar, ketua jabatan dan jawatankuasa pengurusan tertinggi dengan menetapkan jumlah maksimum kelulusan bagi meningkatkan ketelusan,” katanya dalan kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berkaitan pengurusan dan pengagihan tapak Bazar Ramadan dan Aidilfitri, di mana ketiadaan prosedur operasi standard (SOP) khusus, kadar kompaun yang tidak didokumenkan dan tempoh proses pembatalan lesen yang tidak sesuai dikenal pasti sebagai punca isu.

Katanya, antara cadangan dikemukakan ialah pewujudan SOP menyeluruh merangkumi proses kerja dan norma masa, garis panduan kadar kompaun dan pengurangan kompaun dan proses pembatalan lesen khusus untuk bazar perayaan.

“Kelemahan pemantauan kontrak pengurusan pelbagai lesen perniagaan turut dibangkitkan apabila mendapati tiada jawatankuasa pemantau dilantik, justeru penambahbaikan prosedur bayaran dan penubuhan jawatankuasa pemantauan dicadangkan.

“BPT turut mengemukakan syor berkaitan penambahbaikan tadbir urus Kejohanan Sukan Persatuan Badan Berkanun Malaysia 2023 DBKL serta pengurusan kutipan sewa perumahan awam melalui penyelarasan SOP, penguatkuasaan berjadual dan kajian kadar sewa bagi memastikan pengurusan DBKL yang lebih mampan,” ujarnya.

Kesemua syor itu telah dibentangkan oleh Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola F, Zulhairy Zaidel kepada barisan pengurusan tertinggi DBKL yang turut dihadiri oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Fadlun Mak Ujud dan Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd. Zaki Hassan di Menara DBKL semalam.

Terdahulu, dalam majlis sama azmi turut mengadakan kunjungan hormat ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM dan DBKL. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI