PONTIAN – Seorang ibu tunggal kini bersendirian membesarkan tiga anak lelakinya yang juga orang kurang upaya (OKU) selepas suami yang menjadi tulang belakang keluarga selama ini pergi menghadap Ilahi, Sabtu lalu.
Anita Embong@ Jaafar, 52, berkata, suaminya, Zainuddin Md. Yahya, 56, meninggal dunia akibat komplikasi pelbagai penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan jantung selain sering mengalami semput.
Sebelum ini katanya, dia mempunyai empat anak lelaki OKU, namun anak sulung meninggal dunia di usia 15 tahun dan kini tinggal tiga anak.
Mereka ialah Zakir Hakim, 11, Zamil Haziq, 13, dan Mohamad Himan, 21, yang kesemua menghidap masalah penyakit saraf otot bermula pada usia 9 tahun.
“Keempat-empat anak saya termasuk arwah anak sulung tiada masalah ketika lahir, namun apabila mencapai usia 9 tahun penyakit itu mula menyerang mereka,” katanya ketika ditemui di Benut di sini semalam.
Menurutnya, ketiga-tiga anaknya tidak boleh berjalan dan hanya mampu merangkak serta mengesot.
Katanya, setiap hari mereka hanya berbaring serta bermain bersama-sama dan perlu sentiasa dipakaikan lampin pakai buang.
“Saya reda dan pasrah dengan ketentuan perjalanan hidup yang penuh dengan ujian,” katanya.
Walaupun masih bersedih dengan kehilangan suaminya, namun Anita perlu meneruskan kehidupan terutama bagi menjaga ketiga-tiga anaknya yang memerlukan perhatian sepanjang masa.
“Himan dan Zamil perlu disuap ketika makan, manakala Zakir boleh makan sendiri sekali sekala, itu yang menyebabkan saya tidak boleh untuk pergi bekerja,” ujarnya.
Ketiga-tiga anaknya mendapat bantuan bagi OKU daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan yang digunakan bagi membeli barangan keperluan seperti lampin pakai buang dan sebagainya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghubungi Anita di talian 013-8687216 atau menyalurkan sumbangan melalui akaun Bank Simpanan Nasional 0199541100362910.














