PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan ramalan cuaca sempena sambutan Hari Thaipusam di Batu Caves, Kuala Lumpur.
MetMalaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, keadaan cuaca pada pagi 1 Februari dijangka baik, namun hujan diramalkan berlaku pada sebelah petang.
Justeru, MetMalaysia menambah, orang ramai dinasihati untuk mengambil langkah berjaga-jaga khususnya mereka yang berada di kawasan terbuka.
Menurut MetMalaysia, keadaan cuaca dijangka kembali baik pada waktu malam dengan tiada hujan diramalkan di sekitar Batu Caves.
Pengunjung dinasihatkan supaya sentiasa peka terhadap perubahan cuaca serta mematuhi arahan pihak berkuasa bagi memastikan sambutan berlangsung dengan selamat dan lancar. – KOSMO! ONLINE














