KUALA TERENGGANU – Sebuah kedai permainan kanak-kanak musnah dalam kebakaran yang melibatkan kerugian kira-kira RM1 juta di Simpang Tok Ku di sini malam tadi.
Kebakaran bermula pada pukul 7.30 malam itu turut menyebabkan wang hasil jualan lebih RM10,000 hangus selain pelbagai barang permainan dan persekolahan serta skuter elektrik.
Pengurus kedai permainan tersebut, Maya Suhaidi, 40, berkata, pada mulanya, dia dan 10 pekerjanya mengesyaki sesuatu tidak kena apabila terhidu bau asap dari arah belakang premis perniagaan tersebut.
“Saya yang tidak sedap hati segera ke belakang kedai sebelum mendapati bahagian sekitar surau wanita sudah terbakar.
“Semua pekerja diarahkan keluar bagi menyelamatkan diri sebelum saya menghubungi bomba memaklumkan kebakaran tersebut,” katanya kepada Kosmo! di lokasi kejadian di Simpang Tok Ku di sini hari ini.
Maya berkata, mereka sekadar termampu menyelamatkan barangan jualan yang diletakkan di luar premis.
Katanya, antara yang musnah dalam kebakaran tersebut ialah 10 skuker elektrik dan kereta kawalan jauh yang bernilai ribuan ribu ringgit. – KOSMO! ONLINE














