PUTRAJAYA- Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kewujudan aktiviti rasuah dalam isu pengurusan sisa elektronik (e-waste).
Selain itu, turut ditahan reman dalam tempoh sama ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) dan seorang penolong pegawai yang juga berkhidmat di Jabatan Alam Sekitar.
Turut direman selama tiga hari ialah seorang lelaki selepas perintah reman dikeluarkan Majistret Ezrene Zakariah susulan permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Terdahulu, empat individu itu tiba di Kompleks Mahkamah Putrajaya kira-kira pukul 9.30 pagi tadi diiringi pegawai SPRM.
Mereka tiba dengan berpakaian lokap warna jingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta dalam keadaan tangan yang bergari.
Kosmo! semalam melaporkan, kedua-dua mereka ditahan sekitar pukul 6.30 petang selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, di sini.
Difahamkan, siasatan SPRM kini menumpukan kepada dakwaan salah guna kuasa dan rasuah berkaitan pengurusan e-waste yang dipercayai berlaku dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini. – KOSMO! ONLINE














