TANJUNG MALIM – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus mencatat peningkatan signifikan dalam instisusi pendidikan terbaik dunia apabila berada dalam kedudukan 101-125 The World University Rankings (2026: Education Studies) berbanding tangga 126-150 sebelum ini.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, pencapaian itu dilakar hasil kerja keras semua warga universiti dalam meningkatkan kualiti penyelidikan tahap berimpak tinggi, jaringan industri serta kolaborasi antarabangsa.
“Saya menganggap penarafan yang diraih membuktikan keupayaan UPSI memenuhi kriteria utama mencakupi pengajaran yang menepati aspek kualiti persekitaran pembelajaran serta persekitaran penyelidikan yang dinilai aspek jumlah, pendapatan dan reputasi.
“Saya sangat menghargai pengorbanan dan sokongan akademik serta kakitangan pentadbiran yang merancang dan melaksanakan pelbagai strategi dalam bidang pendidikan digital yang efektif mengikut perkembangan semasa,” katanya di Tanjung Malim hari ini.
Katanya lagi, pencapaian itu selaras dengan seruan Menteri Pendidikan Tinggi untuk mengangkat nama negara dalam dunia pendidikan tinggi menjelang 2030.- KOSMO! ONLINE














