fbpx
Albert Tei ketika hadir di Mahkamah Tinggi hari ini. Foto oleh FARIZ RUSADIO/KOSMO!

Permohonan peguam Albert Tei mula semakan kehakiman terhadap SPRM ditolak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan peguam yang mewakili ahli perniagaan kontroversi Albert Tei, Mahajoth Singh untuk memulakan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Alice Loke Yee Ching membuat keputusan itu selepas mendapati perkara membabitkan proses penyiasatan tidak boleh dipertimbangkan melalui permohonan semakan kehakiman.

Penghakiman lanjut turut menyatakan bantahan terhadap notis itu dikemukakan atas alasan bahawa ia bercanggah dengan Seksyen 46 Akta SPRM dan Seksyen 126 Akta Keterangan.

Menurut hakim itu, Mahajoth sebagai pemohon juga berhujah bahawa perbuatan itu adalah salah laku atas alasan SPRM telah bertindak bertentangan dengan undang-undang.

Katanya, mahkamah mengambil maklum bahawa notis berkenaan telah dikeluarkan menurut dua seksyen terbabit dan ia dikeluarkan sebagai sebahagian daripada proses penyiasatan.

“Dalam hal ini, undang-undang adalah jelas dan telah diputuskan secara muktamad melalui dua keputusan mahkamah, bahawa perkara berkaitan fungsi penyiasatan pihak berkuasa penguatkuasaan tidak boleh tertakluk kepada semakan kehakiman.

“Berhubung hujahan bahawa niat tidak baik telah ditunjukkan kerana pengeluaran notis itu bercanggah dengan undang-undang, saya mendapati perkara itu tidak berjaya dibuktikan,” katanya.

Dalam prosiding terdahulu, peguam N.Surendran yang mewakili Mahajoth berhujah dalam permohonan tersebut anak guamnya
mahu membatalkan arahan SPRM pada 29 dan 30 November, yang memanggil Mahajoth untuk mengemukakan dokumen dan barang-barang berkaitan anak guamnya Albert Tei.

Sementara dalam afidavitnya, Mahajoth menyatakan maklumat yang diminta SPRM merupakan komunikasi terlindung antara peguam dan anak guam, bawah Seksyen 126 Akta Keterangan dan Seksyen 46 Akta SPRM.

Beliau berkata SPRM menyalahgunakan kuasa dengan mengeluarkan arahan tersebut, kerana Seksyen 46(1) Akta SPRM menyatakan penzahiran sebarang maklumat daripada peguam bela atau peguam cara hanya boleh dilakukan dengan perintah Mahkamah Tinggi.

Mendengar perkara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan membantah permohonan itu dengan berhujah bahawa permohonan tersebut tidak boleh dicabar menerusi semakan kehakiman.

Sebelum ini Albert Tei mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas empat pertuduhan memberi rasuah kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing, 37, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

Mengikut keempat-empat pertuduhan Albert didakwa memberikan suapan wang tunai RM140,000 dan kelengkapan perabot termasuk barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada Shamsul Iskandar.

Ia sebagai dorongan membantu syarikat tertuduh mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipal.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya, di sini dan Presint 14, Putrajaya antara 24 November 2023 dan 5 Mac 2024

Justeru tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, membawa hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI