KUALA PILAH – Perjalanan seorang pelajar tingkatan enam di daerah ini ke sekolah berakhir tragedi apabila terbabit dalam nahas di kilometer dua, Jalan Kuala Pilah-Batu Kikir (berhampiran persimpangan Taman Fatimah), di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Muhamad Mustafah Hussin berkata, kejadian kira-kira pukul 7.15 pagi berkenaan membabitkan kereta jenis Toyota Camry dan motosikal jenis Honda C100 ditunggang pelajar berkenaan.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku semasa kereta dari Taman Fatimah hendak ke Pekan Kuala Pilah, apabila sampai di tempat kejadian, ketika kereta sedang keluar simpang dan membelok ke kanan tiba-tiba sebuah motosikal yang datang dari arah kanan melanggar bahagian hadapan kanan kereta.
“Akibat dari kemalangan itu, penunggang motosikal seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun mengalami kecederaan di bahagian kaki kiri dan masih mendapat rawatan Hospital Tuanku Ampuan Najihah.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.- KOSMO! ONLINE














