BATU PAHAT – Seorang pekerja sebuah pasar raya di sini hilang nyawa di tangan kekasihnya sendiri apabila mayatnya ditemui di dalam sebuah rumah di Taman Damai II di sini, dipercayai dibunuh dengan muka diterkap menggunakan bantal awal pagi tadi.
Mayat wanita berusia 41 tahun itu ditemui kira-kira pukul 1 pagi disyaki dibunuh oleh teman lelaki selepas polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat selepas menerima laporan kehilangan wanita berkenaan tidak pulang ke rumah beberapa hari lalu.
Difahamkan, semasa serbuan dijalankan, polis menemukan wanita dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu manakala suspek cedera di leher dan lengan kiri selepas disyaki mengelar diri.
Suspek berusia 44 tahun disyaki membunuh mangsa pada pagi Selasa lalu sehinggalah polis menemukan mayatnya awal pagi tadi.
Difahamkan, sebelum penemuan mayat itu, abang mangsa membuat laporan polis selepas adik perempuannya tidak pulang ke rumah sejak beberapa lalu.
Suspek yang juga penganggur kemudiannya ditahan sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan.
Sementara itu, Mahkmah Majistret di sini hari ini membenarkan suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat wanita terbabit.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurasidah A Rahman bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Prosiding reman ke atas suspek dijalankan di HSNI susulan lelaki itu menerima rawatan akibat kecederaan dialaminya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.-KOSMO! ONLINE














