SEREMBAN – Seorang pekerja cafe mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan di tepi jalan di Kuala Pilah, tahun lalu.
Tertuduh, Abu Suffian Hashim, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datin Surita Budin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah melakukan rogol ke atas remaja perempuan berusia 15 tahun 11 bulan ketika kejadian.
Kesalahan itu dilakukan lebih kurang pukul 5.30 petang di tepi jalan laluan masuk Taman Bahagia Delima di Kuala Pilah pada Mei 2025.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Balkis Zunaidi memaklumkan bahawa hubungan tertuduh dan mangsa adalah sebagai rakan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon diberikan jaminan dengan jumlah paling minima.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin sebanyak RM12,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berdekatan sehingga kes selesai dan tidak menganggu saksi.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mac depan untuk serahan dokumen.- KOSMO! ONLINE














