KUALA LUMPUR – Peguam terkenal dengan jolokan ‘kotak pensel’ hadir ke Mahkamah Sesyen di sini bagi mewakili Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Datuk Mohamed Fauzi Kamis yang didakwa atas satu pertuduhan pecah amanah wang RM5 juta milik Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT), tiga tahun lalu.
Dalam prosiding hari ini, peguam, Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar merayu agar anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum dengan alasan perlu menyara isteri dan tiga anak.
Terdahulu Mohamed Fauzi mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut pertuduhan, Mohamed Fauzi didakwa sebagai Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota (AKSPA) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan TKAT dan yang telah diamanahkan wang sejumlah RM5 juta milik TKAT di dalam akaun sebuah bank telah melakukan pecah amanah ke atas harta tersebut.
Ia di mana tertuduh dengan secara tidak jujur telah menyalahgunakan harta itu dengan membuat pelaburan tambahan di dalam sebuah syarikat tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa Pelaburan TKAT.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kementerian Pertahanan Malaysia, Jalan PadangTembak, Kementah di sini pada 27 November 2023 yang didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang dua tahun dan tidak daripada 20 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Hakim Suzana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM100,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudian 16 Mac ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE














