fbpx
Nor Hisham bercakap pada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tahun Baharu 2026 Jabatan Bomba dan Penyalamat Malaysia di Putrajaya hari ini.

Panggilan palsu meningkat, jejas kecekapan operasi bomba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan peningkatan berterusan kes panggilan kecemasan palsu dalam tempoh tiga tahun, sekali gus dilihat menjejaskan kecekapan operasi serta tahap perlindungan keselamatan awam.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, sebanyak 141 panggilan palsu direkodkan pada 2023 sebelum meningkat kepada 196 kes pada 2024 dan terus melonjak kepada 255 kes pada 2025.

Menurutnya, setiap panggilan palsu memerlukan tindak balas awal termasuk pengesahan maklumat, pergerakan anggota serta penggunaan aset, sekali gus melibatkan kos dan masa operasi.

“Keadaan menjadi lebih susah apabila panggilan palsu berlaku di kawasan terpencil yang jauh dari penempatan utama, menyebabkan jentera terpaksa bergerak jauh untuk pengesahan.

“Apabila jentera digerakkan untuk panggilan palsu, balai di kawasan asal akan mengalami kekosongan perlindungan,” katanya di sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan Baru 2026 di sini, hari ini.

Katanya, kekosongan sementara itu boleh memberi risiko sekiranya berlaku kebakaran atau kecemasan sebenar di kawasan berhampiran ketika jentera sedang bertindak balas terhadap panggilan palsu.

Nor Hisham berkata, peningkatan panggilan palsu juga menjejaskan keberkesanan pengurusan sumber kerana anggota terpaksa menangguhkan atau menyusun semula keutamaan operasi.

Beliau memaklumkan, JBPM boleh mengenal pasti corak tertentu panggilan palsu, termasuk lokasi, masa dan bentuk laporan yang disampaikan oleh pemanggil.

“Ada panggilan yang kelihatan meyakinkan sehingga anggota terpaksa digerakkan sepenuhnya sebelum disahkan palsu,” katanya.

Sehubungan itu, JBPM sedang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasi bagi mengenal pasti kaedah terbaik untuk mengekang peningkatan panggilan palsu, termasuk dari sudut kawalan dan kesedaran awam.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya tidak menyalahgunakan talian kecemasan kerana perbuatan tersebut boleh memberi kesan langsung kepada keselamatan orang lain.

“Setiap panggilan palsu bermakna ada kemungkinan bantuan tidak sampai tepat pada masanya kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI