fbpx
Anwar pada Majlis Pelancaran Cerita Malaysia Kita, di Sunway Lagoon, Petaling Jaya hari ini. Foto SHIDDIEQIIN ZON/ KOSMO!

‘Malaysia boleh maju sebagai negara hebat, boleh juga mendatar…merosot’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Malaysia memiliki potensi besar untuk terus melonjak sebagai negara hebat berikutan sambutan positif serta petunjuk pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan ketika ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun negara turut berdepan cabaran yang perlu ditangani secara kolektif.

Katanya, masa depan negara bergantung kepada pilihan rakyat sama ada untuk terus mara ke hadapan atau membiarkan negara mendatar dan merosot.

“Negara boleh maju dan terserlah sebagai negara hebat, tetapi negara juga boleh mendatar atau merosot. Rakyat telah memilih untuk mencapai kemajuan yang membanggakan dan berjaya,” katanya ketika berucap di Majlis Pelancaran Cerita Malaysia Kita, di Sunway Lagoon, di sini hari ini.

Anwar berkata, kejayaan hanya mampu dicapai menerusi semangat berpasukan, sokongan antara satu sama lain serta kesediaan mengurangkan perbalahan dan sentimen kebencian berasaskan kaum serta agama.

“Ini bukan soal menang atau kalah. Usaha ini memerlukan penyertaan semua pihak dan komitmen untuk memastikan setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak berjaya di negara ini, sambil menerima sokongan dan dorongan yang diperlukan,” ujarnya.

Pada majlis sama, Anwar turut melancarkan dua inisiatif utama iaitu koleksi khas Sunway Tiny Toys yang mengetengahkan ikon harian Malaysia sebagai cenderamata berinspirasikan warisan, serta Malaysia Attraction Passport (MAP) iaitu program menggalakkan penerokaan domestik melalui pengalaman interaktif merentasi empat tarikan utama mesra keluarga.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN