PETALING JAYA – Kes pelajar lelaki yang didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dalam kejadian di sebuah sekolah menengah tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.
Perkara itu dimaklumkan peguam Kitson Foong yang mewakili remaja berusia 15 tahun itu berkata pemindahan kes dibuat selepas pihak pendakwaan memperoleh keizinan Jabatan Peguam Negara selaras Seksyen 177A Kanun Prosedur Jenayah.
“Kes ini dipindahkan dari Mahkamah Majistret Petaling Jaya ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan.
“Pihak pendakwaan telah menilai bukti dan percaya ia mencukupi untuk pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas pertuduhan membunuh diteruskan,” katanya ketika dihubungi media selepas prosiding tertutup di hadapan Majistret Amira Sariaty Zainal hari ini.
Bagaimanapun Kitson berkata tarikh pengurusan kes di Mahkamah Tinggi Shah Alam masih belum diperoleh dan perbicaraan akan diteruskan sebaik pihak pembelaan mengetahui hakim mana yang akan mengendalikan kes tersebut.
Dalam prosiding sebelum ini, Mahkamah Majistret di sini diberitahu bahawa keputusan laporan psikiatri menunjukkan pelajar lelaki itu layak untuk dibicarakan.
Menurut peguam tersebut, pakar psikiatri dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak mendapati tertuduh berupaya memahami perkara yang berlaku dalam prosiding mahkamah.
“Tertuduh berupaya untuk dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri. Laporan psikiatri itu turut mengarahkan tertuduh ditempatkan di sebuah pusat yang digambarkan sebagai penjara untuk kanak-kanak, iaitu Pusat Koreksional Puncak Alam di Selangor,” kata peguam tersebut.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki berusia 14 tahun itu (ketika kejadian) didakwa membunuh seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di bilik tandas perempuan sebuah sekolah di Bandar Utama di sini antara pukul 9.20 hingga 9.35 pagi pada 14 Oktober 2025.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pada 22 Oktober lalu, tertuduh diperintah menjalani penilaian psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta di Perak yang mana mahkamah membenarkan permohonan pihak pembelaan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan jasad pelajar perempuan yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya selamat disemadikan.
Sejurus selepas kejadian itu, keluarga mangsa dalam satu sidang akhbarnya mendakwa terdapat kira-kira 200 tikaman ditemui pada badan remaja perempuan tersebut yang ditemui mati dalam tandas di sekolah itu.
Ibu mangsa, berkata, berdasarkan penjelasan ahli patologi, kecederaan yang dialami anak bongsunya itu meliputi bahagian leher, termasuk bahagian rusuk, namun tiada kesan tikaman pada muka. – KOSMO! ONLINE














