HULU SELANGOR – Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas disyaki memukul dan mencabul seorang kanak-kanak perempuan di Bukit Sentosa, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ibrahim Husin berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang wanita tempatan kira-kira pukul 8 malam memaklumkan kejadian melibatkan mangsa di bawah umur.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa bersama kakak dan abangnya dalam perjalanan ke pasar malam melalui Jalan Bakawali sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang menarik mangsa masuk ke dalam rumahnya.
“Suspek kemudiannya bertindak memukul mangsa menggunakan tangan dan kaki sehingga menyebabkan kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Susulan laporan diterima katanya, polis dari Balai Polis Bukit Sentosa berjaya menahan suspek berusia 23 tahun di rumahnya di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, suspek yang merupakan penganggur tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, namun hasil ujian saringan air kencing mendapati positif dadah.
Ibrahim berkata, permohonan reman terhadap suspek telah dibenarkan Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE














