PEKAN – Hospital Pekan menjadi hospital pertama di negeri ini dilengkapi perkhidmatan Perubatan Tradisional dan Komplementari (T&CM) bagi menawarkan pilihan rawatan yang lebih komprehensif kepada penduduk sekitar daerah ini.
Perasmian pembukaan perkhidmatan Perubatan dan Komplementari itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, Datuk Ir. Razali Kassim yang sekali gus melakar sejarah baharu apabila ia menjadi fasiliti kesihatan ke-16 di bawah Kementerian Kesihatan (KKM) yang menawarkan perkhidmatan tersebut.
Razali berkata, pembukaan unit baharu ini merupakan satu inisiatif strategik KKM dalam mengintegrasikan perubatan tradisional dengan perubatan moden.
Beliau memberitahu servis T&CM Hospital Pekan kini beroperasi sepenuhnya dengan memfokuskan kepada urutan melayu tradisional.
“Perkhidmatan ini dikendalikan oleh pengamal perubatan tradisional yang bertauliah dan terlatih serta dipantau rapi mengikut piawaian KKM bagi menjamin keselamatan dan kualiti rawatan.
“Saya berharap ia akan diperluaskan di daerah-daerah lain di negeri ini kerana ia kekal relevan sebagai pelengkap kepada rawatan moden selagi ianya dikawal dan selamat,”katanya pada majlis perasmian perkhidmatan perubatan tradisional dan komplementari (T&CM) Hospital Pekan di sini hari ini.
Menurut Razali rawatan urutan tradisional itu ditawarkan khusus sebagai rawatan sokongan bagi pesakit yang mengalami kesakitan kronik termasuk bagi mengurangkan kesakitan termasuk sakit belakang dan sakit otot rangka.
Katanya, ia juga ditawarkan khusus bagi pemulihan pasca strok bagi membantu meningkatkan mobiliti dan mengurangkan kekejangan otot bagi pesakit yang telah stabil.
Beliau memberitahu perkhidmatan yang terletak di lobi aras dua Hospital Pekan itu beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula pukul 8 pagi hingga 5 petang kecuali pada cuti umum.
“Bagi mendapatkan perkhidmatan ini pesakit perlu dirujuk oleh pegawai perubatan atau pakar perubatan di klinik atau wad terlebih dahulu untuk memastikan kesesuaian rawatan
dengan caj rawatan yang dikenakan adalah sangat berpatutan iaitu RM20 bagi setiap sesi rawatan.
“Berdasarkan statistik awal operasi dari November tahun lalu sehingga kini perkhidmatan ini menerima sambutan menggalakkan melibatkan 29 pesakit dengan 27 pesakit mencatatkan pengurangan skala kesakitan yang signifikan selepas melengkapkan sesi rawatan,”ujarnya.- KOSMO! ONLINE














