PETALING JAYA – Pelakon dan usahawan terkenal, Nur Fazura akui dia banyak berdiam diri selama dua tahun biarpun sering dibuli netizen dalam media sosial.
Menurut Fazura atau nama lengkapnya Nur Fazura Sharifuddin, 43, hanya baru-baru ini dia sering bergurau dalam media sosial, namun gurauannya itu tidak disenangi oleh golongan pembenci.
“Waktu kita pilih untuk diam mereka tetap berkata-kata. Tetapi bila kita usik-usik sikit mereka tak boleh terima. Mereka marah. Walhal mereka buat saya lagi teruk.
“Mengata arwah bapa saya, mengata Fatima barua dan kata itu ini. Bila saya bergurau sikit mereka pula koyak.
“Kata saya tak ‘classy’. Saya tak pernah cakap saya seorang yang ‘classy’ ,” katanya dalam sebuah video yang kini tular dalam media sosial.
Tambah pelakon filem Manisnya Cinta Di Cappadocia itu lagi, netizen lebih suka lihat dia berdiam diri supaya mereka boleh memijak kepalanya.
“Kalian suka saya diam sebab suka nak pijak saya kan? Memang dah lama saya tak layan. Dah dua tahun saya tak layan walaupun saya dibuli, difitnah dan macam-macam saya kena. Saya serahkan semua pada Allah.
“Tetapi saya ni pun seorang manusia juga. Bila ada yang melebih-lebih sangat tu adalah juga terkeluar sisi nakal saya tu. Cuit sikit-sikit. Gurau-gurau, kenapa tidak? Tak adalah sampai tahap saya nak maki-maki orang. Saya tidak akan turun sampai ke tahap itu,” ujarnya.
Terdahulu Fazura menjadi perhatian netizen terutamanya dalam akaun Threads apabila sering membalas hantaran netizen terutamanya peminatnya.
Namun ada yang tidak senang dengan tindakannya itu dan meminta agar dia berdiam diri supaya tidak mencetuskan kontroversi. KOSMO! ONLINE














