KUALA LUMPUR – Hanya kerana tidak sengaja terklik pautan iklan hamper Tahun Baharu Cina di Facebook pada 17 Januari lalu, hidup seorang wanita dari Rawang huru-hara diburu along.
Selepas itu Alice Liew, 35, memaklumkan menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang mendakwa dia telah memohon pinjaman sebanyak RM300, sedangkan dirinya tidak pernah berbuat demikian.
“Apabila menyemak akaun bank RHB, saya dapati terdapat satu transaksi berjumlah RM300, dan diarahkan untuk memulangkan RM600 ke akaun kod QR yang diberikan oleh individu berkenaan.
“Pada 19 Januari pula, saya terima notifikasi transaksi masuk RM500. Individu itu kemudian ugut guna gambar ahli keluarga saya dan tuntut bayaran RM1,000 sebagai penyelesaian,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma MCA, di sini hari ini.
Alice berkata, kerana ketakutan dia kemudiannya segera membuat bayaran balik RM1,000 melalui dua transaksi berasingan ke akaun kod QR yang sama.
“Individu itu juga telah memuat naik sekeping gambar lama saya yang disunting secara digital sehingga kelihatan seolah-olah saya sedang memegang kad pengenalan, bagi tujuan permohonan pinjaman.
“Individu tersebut terus menuntut bayaran tambahan sebanyak RM1,000 sebagai penyelesaian terakhir dan saya bayar RM800.
Bagaimanapun Alice berkata, akaun bank RHB miliknya juga telah disalahgunakan pihak berkenaan dengan beberapa transaksi tanpa kebenaran, mengakibatkan kerugian tambahan kira-kira RM2,000.
Sementara itu, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong berkata, along kini ‘rancak’ menggunakan taktik terbaharu mengugut mangsa menggunakan gambar yang telah disunting menggunakan aplikasi kecerdasan buatan bagi mengugut mangsa. – KOSMO! ONLINE














