TANJUNG MALIM – Seorang lelaki warga Myanmar berumur 25 tahun maut apabila ditikam menggunakan sebilah parang dalam kejadian di sebuah rumah kebun berhampiran kolam ikan di Kampung Kelawar, Tanjung Malim pada pukul 11 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim telah menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan yang memaklumkan penemuan mayat pekerjanya.
“Kejadian disedari oleh pengadu semasa membuat lawatan ke kawasan kebun tersebut dan mendapati, pintu rumah dalam keadaan terbuka sebelum menemui mangsa terbaring di bahagian dapur. Lokasi kejadian dianggarkan kira-kira 1.5 kilometer dari jalan utama.
“Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati si mati ditemui dalam keadaan terbaring dengan kecederaan parah dipercayai ditikam menggunakan sebilah parang dibahagian perut serta kesan kelar pada leher,” katanya di Tanjung Malim hari ini.
Mohd. Hasni berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya telah menahan dua lelaki warga Myanmar berumur 39 tahun bagi membantu siasatan.
“Permohonan reman akan dibuat bagi tujuan siasatan lanjut. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE














