LANGKAWI – Aloft Langkawi Pantai Tengah optimis terhadap tawaran bufet Ramadan yang menawarkan pelbagai makanan tradisional dan menu tempatan kesukaan pelanggan berbuka puasa akan menarik minat pelancong dari luar negara menikmati pengalaman menarik di hotel tersebut.
Mencari kelainan pada tahun ini, restoran Nook diubah menjadi sebuah situasi pasar terapung dan jalanan di Thailand bertemakan Rasai Nook Floating Market yang menghidangkan pelbagai menu kegemaran ramai.
Antara yang menarik adalah boat noodle, masakan yang dipanggang, kari berempah, roti lempeng, pulut mangga dan juga Tub Tim Krob.

Hidangan yang disediakan Eksekutif Cef Muhammad Aliff Akhbar Zakaria bersama cef-cef lain dari dapur yang mendapat pensijilan halal di restoran berkenaan menyediakan lebih daripada 100 hidangan daripada pembuka mulut hingga kepada pemanis bagi memenuhi keperluan pelanggan.
Antara menu lain kegemaran pelanggan adalah Gearbox Daging, Telur Ikan Mayong Asam Pedas, Nook Golek-Golek yang menampilkan Kambing Panggang bersama Nasi Dum Briyani, serta Ayam Madu Tradisional Panggang Sepenuhnya dengan Salsa Rempah.
“Kami mengolah menu menjadi sebuah gabungan hidangan makanan yang dapat memenuhi cita rasa pelanggan tidak kira orang tempatan atau pelancong asing.
“Ia disediakan secara segar, berkualiti dan pastinya rasanya juga lebih berbeza tetapi mereka dapat menikmati makanan dengan sebaiknya,” kata beliau ketika ditemui baru-baru ini.

Tawaran bufet Ramadan di hotel tersebut berharga RM108 seorang dewasa tetapi untuk pembelian awal, pelanggan boleh membeli baucar pada harga lebih menjimatkan iaitu RM89 seorang dewasa.
Mengulas mengenai sasaran pertumbuhan kadar penginapan pada tahun ini, Shanmugam menerangkan, Aloft Langkawi bakal mencapai satu prestasi yang membanggakan pada tahun ini seiring dengan Kempen Tahun Melawat Malaysia yang menawarkan pelbagai program untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia termasuk Langkawi.
“Dengan sokongan daripada Tourism Malaysia dan juga pihak berkuasa di Langkawi, kami yakin program berkaitan pelancongan bakal memberi manfaat kepada pemain industri dan juga pelancong.

“Hotel kami juga memiliki kelainannya yang tersendiri dan unik dan kerana itu, ia memiliki peminat atau kumpulan pelanggannya tersendiri yang suka menginap di sini.
“Kombinasi pelbagai kemudahan moden, lokasinya yang terletak berdekatan dengan pantai dan tarikan pelancongan juga memberi kelebihan kepada hotel ini,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE














