PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) sedang merangka untuk menubuhkan satu jabatan baharu yang akan menyelaras program pembangunan membabitkan kesemua 14 negeri sebagai sebahagian pelan strategik jangka panjang memperkukuh ekosistem kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Lee Chong Wei memaklumkan, ia akan diterajui seorang bekas pemain berpengalaman memastikan penjajaran, tadbir urus dan penyelarasan program latihan negeri pada landasan sama dengan kerangka pembangunan BAM.
“Ini adalah posisi baharu yang memang dimahukan oleh kepimpinan BAM iaitu Presiden BAM sendiri, Tengku Datuk Seri Zafrul dan kita juga sudah ada calonnya untuk posisi tersebut.
“Dulu tiada posisi seperti ini. Idea yang bagus terutama pembangunan masa depan dan saya percaya ia akan memberi impak positif kepada pasukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara kelmarin.
Menurut legenda badminton negara itu, peranan jawatan berkenaan bukan tertumpu kepada pencarian bakat semata-mata, sebaliknya berfungsi sebagai hab kolaborasi strategik antara BAM dan persatuan negeri.
“Langkah kita buat ini akan melihat secara keseluruhan bagaimana untuk berkomunikasi dan menyelaras program latihan negeri dengan jurulatih. Kita mahu perkongsian amalan terbaik, latihan jurulatih dan program disusun di ABM turut dipraktikan di negeri-negeri,” jelasnya.
Dalam masa sama, BAM turut merancang penugasan berkala jurulatih kebangsaan ke peringkat negeri dengan kekerapan sekitar dua hingga tiga bulan sekali bagi memastikan keselarasan metodologi latihan dan pemantauan berterusan terhadap kemajuan pembangunan.
“Mungkin kita akan hantar jurulatih kebangsaan untuk turun melihat pembangunan negeri. Ini tentang bagaimana kita berkongsi dan bekerjasama secara berstruktur,” tambah Chong Wei.














