PUTRAJAYA- Perdana Menteri,Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Jemaah Menteri memberi perhatian serius dan sewajarnya terhadap isu integriti dan salah laku membabitkan badan-badan penguatkuasaan di negara ini.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, penegasan itu disuarakan Perdana Menteri pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Perdana Menteri juga menjelaskan tindakan sesetengah badan penguat kuasa itu dilihat sebagai tidak selari dengan harapan rakyat, sekali gus menjejaskan keyakinan terhadap institusi.
“Beberapa tindakan yang telah diambil oleh badan-badan penguat kuasa menunjukkan mungkin terdapat beberapa sikap yang tidak begitu membantu.
“Keadaan ini (isu integriti dan rasuah)
telah menghakis keyakinan rakyat terhadap institusi (badan penguatkuasa),” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, hari ini.
Bagaimanapun, katanya, Jemaah Menteri menegaskan tidak akan masuk campur dalam setiap tindakan terhadap isu integriti membabitkan badan penguatkuasaan itu.
Fahmi berkata, tindakan penguatkuasaan dan siasatan itu telah dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk kes terbaru membabitkan Ketua Pengarah Alam Sekitar serta timbalannya.
“Jemaah Menteri tidak masuk campur dan tidak mencampuri tangan dalam isu ini, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada badan penguat kuasa untuk mengambil tindakan,” katanya.
Pada masa sama, katanya, penegasan oleh Perdana Menteri itu akan disusuli oleh peringatan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar terhadap semua ketua-ketua setiausaha.
“Ketua Setiausaha Negara akan memastikan aspek-aspek integriti ini diperkemas di setiap kementerian supaya tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak diingini,” katanya. – KOSMO! ONLINE














